Rabu, 11 Mei 2011

UMNO Sambut Ulang Tahun Ke-65 Penuh Cabaran Getir


KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Rabu adalah ulang tahun ke-65 kelahiran Umno yang bukan saja menyaksikan ia terus menjadi tunjang pemerintahan negara tetapi terpaksa berdepan banyak cabaran yang tidak kurang getirnya berbanding waktu penubuhannya.

Antara cabaran getir itu ialah Umno harus menangani perpecahan bangsa Melayu yang kini terbahagi tiga, selain terpaksa berdepan dengan cabaran demi cabaran luaran yang walaupun sedikit tetapi semakin jelas sehingga berani mempertikaikan ketuanan Melayu, Bumiputera dan Islam.

Mengambil tema 'Membela Rakyat' pada sambutan kali ini, Umno yang menjadi tunjang parti gabungan dalam Barisan Nasional dan tonggak kerajaan, juga harus menerajui negara dan rakyat berbilang kaum dalam mencapai Wawasan 2020 dan matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.

Umno bukannya tidak pernah dilanda masalah malah pernah diharamkan pada 1988, gejolak pemecatan timbalan presidennya pada tahun 1998 dan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008, tetapi masalah itulah yang menjadikannya bangkit dengan lebih gagah.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mencapai usia 65 tahun menjadikan Umno sebuah parti yang amat matang, lebih progresif, berpengalaman luas dan berani membuat perubahan dari semasa ke semasa.

"Saya yakin apa yang sudah dilalui selepas ia ditubuhkan, dengan pelbagai ranjau dan masalah sehingga presiden pertama (Datuk Onn Jaafar) tinggalkan Umno dan sebagainya, memberikan iktibar kepada kita untuk terus bergerak bukan sahaja untuk dahulu tapi juga untuk kini dan selamanya," katanya.

Beliau berkata Umno juga membuat analisis hasil pilihan raya Singapura baru lalu yang menunjukkan trend populariti parti pemerintah sedikit merosot kerana menghadapi masalah dengan dunia siber.

"Kita pun bimbang dan terpaksa buat kaedah untuk cuba terangkan kepada rakyat terutama golongan muda. Kita harus berdepan dengan dunia siber ini. Umno dan BN kena tangani masalah orang muda, memaklumkan kepada mereka apa yang sudah kita laksanakan.

"Memanglah kadangkala mereka tak percaya dan barangkali tak peduli kepada sejarah tetapi kita mesti ingat pada sejarah kerana setiap langkah yang kita ambil untuk ke hadapan tanpa melihat sejarah, akan membuatkan kita mengulangi kesilapan yang sebelum ini," katanya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Umno mahu dokongan daripada "generasi X" di semua peringkat supaya mereka ini diserapkan dalam kepimpinan peringkat cawangan dan bahagian.

"Ia mesti dibuat, transformasi politik dilakukan dengan pindaan perlembagaan di mana lebih ramai kepimpinan masa depan parti dipilih ramai anggota serentak di seluruh negara, (ini) mengambil kira suara akar umbi," katanya dalam satu perutusan sempena sambutan ulang tahun itu.

Antara transformasi lain ialah dalam pemilihan calon pilihan raya.

Katanya presiden parti boleh memilih calon yang boleh menang dan disukai yang sekaligus memberi mesej penting iaitu, prestasi wakil rakyat sentiasa diperhatikan.

Seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersyukur kerana kepimpinan parti mampu berdepan dengan yakin perkembangan ekonomi, politik dan pemerintahan.

Katanya banyak lagi kerja dan tanggungjawab yang perlu Umno laksanakan demi memperjuangkan bangsa dan negara selain untuk survival parti dengan mengutamakan rakyat tanpa kompromi.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Naib Presiden Umno, berkata parti itu perlu terus wujud supaya orang Melayu dan Bumiputera dapat berpadu dalam pelbagai konteks termasuk sosial, pendidikan, agama dan ekonomi yang selama ini sumbangan Umno untuk kemajuannya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Beliau juga berpesan supaya setiap anggota Umno terus memberi sokongan padu kepada parti dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang, membulatkan tekad serta bekerja dengan bersungguh-sungguh memastikan kemenangan.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata dalam usia Umno sekarang, perjuangan wanita bukan lagi di belakang tetapi di barisan hadapan bersama pemimpin untuk menentukan parti terus relevan.

"Saya nampak bahawa pada hari ini Umno berada di satu tahap menyakinkan tetapi kita tak boleh leka dengan keadaan itu," katanya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata lanskap politik berubah, dan untuk menjadi wadah, Pemuda Umno dan peneraju BN perlu melihat perubahan yang berlaku kepada generasi muda yang kini lebih terbuka dan berilmu pengetahuan.

"Kena amal politik terbuka juga. Boleh berjuang untuk semua tapi jangan lupa perjuangan asas untuk Melayu. Faktor ini memerlukan kita menjadi fleksibel dan pantas," katanya.

Khairy berkata ramai orang muda mungkin belum menyertai parti politik dan kerana itulah Pemuda Umno mewujudkan titik sentuhan dengan mereka termasuk supaya bersama-sama aktif dalam gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata Umno dalam usia 65 tahun dan sekian lama menjadi parti teras BN, sudah cukup matang untuk bertindak penuh bijaksana "dalam menangani karenah anak-anaknya".

Beliau percaya di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Umno akan terus menjadi payung bagi orang Melayu dan Bumiputera bernaung, selain menjadi landasan terbaik bagi bangsa Melayu memupuk perpaduan untuk masa depan yang lebih cemerlang dan terjamin.

"Saya percaya Datuk Seri Najib dengan pelbagai pendekatan mesra rakyatnya, mampu menerajui Umno dan juga BN menuju masa depan yang lebih baik serta memacu pertumbuhan negara untuk manfaat semua," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...