Golongan belia perlu melengkapkan diri mereka dengan ciri-ciri pemimpin berwibawa dan unggul bagi memastikan generasi kepimpinan negara pada masa akan datang terus dipandang mulia dan dihormati semua pihak, khususnya di kalangan negara-negara luar.
Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Encik Yusof Mat Ali, berkata golongan belia merupakan kumpulan dalam masyarakat yang sangat penting dan menjadi ‘aset negara’ kerana mereka adalah ‘generasi pewaris bangsa’ yang akan menggantikan kepimpinan sedia ada pada masa depan.
“Jika barisan belia kuat, nescaya generasi kepimpinan negara pada masa akan datang, menjadi kuat. Sebaliknya jika barisan pelapis ini lemah dan tidak bermaya, negara di masa depan juga akan lemah dan memudahkan kita diserang oleh musuh dari segenap sudut,” katanya.