Khamis, 14 Julai 2011

Mengejutkan - 93 Taska di Terengganu Belum Berdaftar Dengan JKM

View Image

Terkejut dan membimbangkan!

Sebanyak 93 daripada 139 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh Terengganu belum didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, JKM negeri Terengganu, Muhammad Zain Mahmud berkata, kebanyakan Taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang belum mendaftar masih dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal.

Tiga agensi itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Mengejutkan kerana jumlahnya begitu banyak dan membimbangkan kerana Taska tidak berdaftar menghadapi pelbagai kemunginan.

Menurut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, kebanyakan kes kecederaan kanak-kanak berlaku di taska tidak berdaftar dan pengusahanya juga tidak mengikuti kursus asas asuhan kanak-kanak.

Selalunya Taska-taska ini mengambil kanak-kanak seberapa ramai yang boleh dan tidak mengikut nisbah kanak-kanak yang ditentukan bagi sesebuah taska.

Nisbah mengikut akta berkenaan menetapkan seorang pengasuh menjaga lima kanak-kanak berusia 3 tahun dan seorang pengasuh bagi 10 kanak-kanak berusia antara 3 dan 4 tahun.

Sebenarnya pengusaha taska yang melanggar akta itu boleh dikompaun dan diarah menutup Taska mereka.

Berikutan itu, Sabtu ini, JKM akan mengadakan kempen 'Jom Daftar Taska' peringkat negeri melibatkan tiga zon.

Zon berkenaan ialah daerah Besut dan Setiu, daerah Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu serta daerah Dungun dan Kemaman.

Ia bagi memastikan kesemua Taska dan pusat jagaan mendaftar dengan jabatan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...