Jumaat, 11 November 2011

Terengganu perintis program GSP

Terengganu terus berada pada kelasnya tersendiri dalam dunia pendidikan apabila dipilih menjadi negeri pertama untuk menggunakan program The Geometer’s SketcPad (GSP) bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, GSP yang dibangunkan di Amerika Syarikat itu merupakan program membina kreativiti pelajar dengan menggunakan aplikasi komputer untuk pembelajaran matematik.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk tujuan itu dan dimanafaatkan di semua sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.


“Pemilihan Terengganu sebagai perintis program itu bertepatan dengan perkembangan negeri ini sebagai anjung ilmu dan menjadi rujukan dalam beberapa perkara berkaitan pendidikan,” katanya.

Kata Ahmad Razif selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menggunakan Bahan Pembelajaran Kendiri Matematik Menggunakan Aplikasi GSP Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2011 di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Zuber Embong dan Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil, Farid Jaafar.

Pertandingan julung kali anjuran bersama Jabatan Pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran itu turut mendapat tajaan penganjuran sebanyak RM55,000 daripada ExxonMobil.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan itu dengan membina program bertajuk ‘Transformation’ dan mengalahkan 46 sekolah menengah yang lain.

Selain menjadi juara keseluruhan, SMK Dato’ Razali Ismail turut mendapat tempat pertama dan kedua bagi daerah Kuala Terengganu Selatan dan Kuala Terengganu Utara dimenangi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit.

Bagi Daerah Besut pertandingan itu menjadi milik SMK Permaisuri Nur Zahirah, SM Agama Setiu (Setiu), SMK Kuala Telemong (Hulu Terengganu), SMK Sri Payong (Marang), SMK Agama Kuala Abang (Dungun) dan SMK Bukit Mentok (Kemaman).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...