Rabu, 11 Mei 2011

Umno Perlu Mantapkan Persiapan Hadapi Pilihan Raya Umum Ke-13

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) --Seluruh anggota parti perlu meningkatkan usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang pasti tiba, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.

"Ingatlah, jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini. UMNO perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi untuk agama, bangsa dan negara," katanya dalam perutusan sempena Hari Ulang Tahun UMNO ke-65 yang akan disambut esok.
Perdana Menteri berkata badai yang telah melanda parti pada pilihan raya umum yang lepas bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik dan kini bukan masanya untuk terus mengeluh serta mengenang perkara lalu.

"Hakikatnya jika kita masih lagi tidak mengenal pasti apa kesilapan kita dan mengambil langkah-langkah pembetulan setelah lebih tiga tahun pilihan raya umum ke-12 berlalu maka kita sebenarnya hanya menempah masa depan yang kelam untuk parti dan rakyat.

"Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi," katanya.

Beliau berkata anggota parti harus bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana masih menjadi parti pemerintah yang mendapat kepercayaan dan diyakini orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya serta rakyat Malaysia amnya.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan anggota UMNO silih berganti.

"Ia tidak mungkin berterusan tanpa kemampuan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk terus merasai denyut nadi rakyat serta mendukung aspirasi mereka," katanya.
Najib berkata, dalam usia 65 tahun, UMNO telah menempuh pelbagai cabaran serta tribulasi. "Pengalaman dan sejarah telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik mutakhir, memastikan parti terus segar dan relevan," katanya.

Sejak mula ditubuhkan sebelum merdeka lagi, UMNO telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja mampu menyatukan orang Melayu tetapi juga untuk menerajui pemerintahan negara, katanya.

"Sejarah telah membuktikan betapa besarnya peranan dan sumbangan UMNO. Kita tidak akan lupa jasa tokoh-tokoh seperti Datuk Onn (Jaafar), Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak (Hussein), Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tun Abdullah Ahmad Badawi serta lain-lain tokoh UMNO yang telah begitu banyak berjasa kepada parti dan negara.

"Sementara kita semua menghargai jasa dan sumbangan para pejuang bangsa ini, pemimpin, ahli, dan penyokong UMNO perlu sedar bahawa segala jasa dan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara tidak menjamin kelangsungan sokongan rakyat kepada UMNO sebagai parti pemerintah di negara ini.

"Untuk itu kita perlu meneruskan perjuangan pendahulu-pendahulu kita untuk menjadi juara rakyat," katanya.

Najib berkata UMNO dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) perlu memastikan agar hari ini untuk warga Malaysia adalah lebih baik dari hari semalam dan fajar menyinsing di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

"Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam BN untuk terus bekerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Malaysia yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negara tercinta ini di tempatnya yang hak di persada antarabangsa.

"Insya-Allah berkat kesungguhan dan iltizam padu kita, UMNO akan terus berjaya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...