PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mencadangkan supaya diberikan insentif seperti pelepasan cukai kepada syarikat swasta yang memberikan cuti separuh hari kepada kakitangan mereka yang menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata selain sebagai satu galakan kepada syarikat swasta, pemberian insentif itu juga dilihat mampu menarik minat lebih ramai lagi menyertai skim itu selain memastikan keberkesanannya.
"Perbincangan sedang dibuat dengan pihak perbendaharaan kerana selain perlindungan insuran, pemberian insentif itu juga dilihat perlu," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang jabatan itu di sini Selasa.
Koh berkata SRS adalah satu cabang di dalam sesuatu organisasi Rukun Tetangga (RT) dan setakat ini terdapat 2,465 pasukan SRS di seluruh negara dengan keanggotaan 123,300 orang.
Selain itu, katanya, dalam usaha untuk memantapkan lagi fungsi RT, pemimpin RT akan diberikan latihan secukupnya, justeru itu jabatan mensasarkan setiap tahun sekurang-kurangnya 400 orang pengantara dilahirkan dan sehingga April tahun ini seramai 298 pengantara berjaya diwujudkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan