Isnin, 14 Mei 2012

Demonstrasi Perkembangan Tidak Sihat Kepada Sistem Demokrasi Negara - Dr Mahathir


Image Detail
KUALA TERENGGANU, 3 Mei (Bernama) -- Langkah pihak pembangkang mengadakan demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan, yang dipilih rakyat menerusi proses pilihan raya, hanya akan menjejaskan keharmonian dan keamanan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata tindakan menghalalkan demonstrasi jalanan seperti yang berlaku baru-baru ini, merupakan perkembangan tidak sihat kepada sistem demokrasi negara, sekaligus menepati kehendak pihak asing yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Saya nampak ada pihak, termasuk (Mursyidul Am Pas Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) yang menghalalkan demonstrasi sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan. Nampak dia kurang percaya kepada sistem demokrasi yang mana kerajaan dipilih melalui undi tanpa keganasan.

"Sekarang demonstrasi dipilih sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan. Saya fikir perkembangan ini tidak sihat, apabila kita menyokong tindakan ganas, negara kita tidak akan aman," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Negarawan bertajuk 'Cabaran Umat Islam Masa Kini: Persepsi dan Realiti' anjuran kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu di sini, pada Khamis.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Anwar yang mengakui beliau lebih rela menjadi kuda tunggangan DAP sekiranya tindakan itu membolehkan pakatan pembangkang menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang, Dr Mahathir berkata ia bukanlah perkara baru.

"Dia (Anwar) memang kuda DAP dari awal, ini bukanlah perkara baru," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...