Khamis, 15 Mac 2012

Pas Pusat mengarahkan Azizan bercuti dan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar



ALOR SETAR 14 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan pemangku bagi membantunya mengurus tadbir negeri ini jika beliau ingin bercuti selepas pergolakan dalaman Pas Kedah yang berlarutan sejak sebulan lalu.

Azizan mendakwa, pentadbiran kerajaan Pas Kedah pada masa ini berjalan lancar dan menganggap krisis yang berlaku sudah selesai.


"Tiada... tiada (pemangku). Semuanya dalam kawalan. Ribut sudah hilang, okey," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Spekulasi mengenai kemungkinan Azizan akan melantik pemangku Menteri Besar tercetus ekoran kemelut dalaman Pas Kedah apabila dua Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr. Ismail Salleh yang tempoh perkhidmatan mereka luput pada 7 Mac lalu enggan dilantik semula akibat perbezaan pendapat ketara dengannya.

Phahrolrazi dan Ismail bagaimanapun bersetuju dilantik kembali selepas campur tangan Pas Pusat yang bermesyuarat selama hampir lima jam di sini pada 4 Mac lalu yang turut memutuskan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau Menteri Besar mentadbir dan menguruskan negeri.

Pada mesyuarat berkenaan, dikatakan salah satu pihak bertelagah mengenakan beberapa syarat untuk 'berdamai' antaranya supaya jawatan Menteri Besar di pangku pemimpin lain.

Sebelum mesyuarat berkenaan, turut wujud khabar angin mengatakan ada desakan kepada Pas Pusat agar mengarahkan Azizan bercuti dan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar jika pakatan pembangkang memerintah Kedah.

Semalam, Azizan berharap pelantikan dua lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dapat diselesaikan secepat mungkin kerana beliau ingin berehat dan bercuti di luar negara.

Ditanya apakah beliau serius untuk bercuti di luar negara, Azizan berkata:"Tengok kalau ada masa, saya pergilah. Cuti bukan payah apa pun. Ambik beg, beli tiket, naik kapal terbang pergilah, selepas itu baliklah."

Mengenai pelantikan dua lagi Exco bagi melengkapkan senarai 10 Exco Kerajaan Pas Kedah, Azizan berkata, belum ada perkembangan terbaru dan majlis mengangkat sumpah akan diadakan selepas mendapat tarikh yang akan ditentukan oleh pihak istana Kedah.

Dalam satu perkembangan lain, Azizan berkata, keputusan sama ada beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen oleh Kerajaan Pusat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah tertakluk kepada arahan Pas Pusat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, terserah kepada Pas Pusat untuk mengambil persetujuan atau tidak berhubung ketetapan sama ada untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi negeri-negeri yang ditadbir pakatan pembangkang jika pilihan raya umum diadakan nanti.

"Saya mengikut saluran Pas Pusat dan mereka akan tanya saya tentang kewajaran sebab saya berada di medan perang," katanya.

Ditanya apakah kewajaran beliau, Azizan berkata:'' Kalau saya buat (pilihan raya) sekarang saya (rasa) boleh menang saya buat, kalau buat sekarang kalah, saya tak buat. Lebih kurang macam itulah. Pilihan raya ini adalah menang atau kalah."

Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...