Sabtu, 17 Disember 2011

Contohi Terengganu: Rosmah

yayasan permata

KUALA TERENGGANU – Terengganu mampu menjadi contoh dalam pelaksanaan Program Permata Negara berikutan perhatian khusus yang diberikan negeri itu dalam pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ia bertepatan kerana sehingga kini terdapat 89 Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) beroperasi di Terengganu dan ia satu kejayaan boleh dibanggakan.
Menurutnya, jumlah itu adalah 32 Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), 34 Taska Permata Keluarga, 15 Taska Permata Kemas, 2 Taska Permata Perpaduan, 4 Taska Permata Komuniti dan 2 Pusat Anak Permata Negara.

“Taska Permata YPK dilaksanakan di setiap kawasan Dun,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Program Hafaz Muqaddam (23 Surah Lazim) Kanak-Kanak Taska Permata YPKT di Stadium Negeri, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad.

Pada majlis itu, seramai 1,012 kanak-kanak dari Taska Permata YPKT berusia antara 3 hingga 4 tahun tamat menghafaz 23 surah lazim di dalam muqaddam.

Mengulas lanjut, Rosmah yang juga penaung Program Permata berkata, hafaz muqaddam merupakan usaha terpuji kerana program itu adalah inisiatif tambahan YPKT sebagai pelengkap kepada pembelajaran di bawah skop kurikulum Permata.

“Ini bermakna, selain mengikuti kurikulum Permata yang merangkumi aspek kemahiran kognitif, sosio-emosi, kemahiran berkomunikasi dan tumbesaran fizikal, anak-anak juga didedahkan kepada pembelajaran agama melalui hafazan muqaddam.

“Ia bersesuaian dengan konsep Permata yang berorientasikan perkembangan kanak-kanak secara holistik, saya harap usaha murni ini diteruskan bagi melahirkan generasi pemikiran agung berpengetahuan tinggi demi memimpin masa depan kelak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...