Selasa, 4 Oktober 2011

Mansuh ISA Tahun Depan Kerana Kerajaan Mahu Akta Baru Tepati Kehendak Rakyat


KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pembentangan cadangan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilakukan pada Mac depan kerana kerajaan mahu dua undang-undang baru mengenai keselamatan negara menepati kehendak rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan akan memastikan undang-undang tersebut mempunyai peruntukan yang seimbang antara keperluan keselamatan dan perpaduan rakyat, serta semua rakyat dilindungi.
"Ini membabitkan soal penglibatan dan perundingan. Kami mahu undang-undang itu kena dengan kehendak. Kami mahu pastikan apa juga pindaan yang dilakukan bukan retorik," katanya kepada pemberita, di Lobi Parlimen di sini hari Isnin.

Beliau berkata ini juga peluang kepada kerajaan dan rakyat untuk menentukan peraturan asas bagi transformasi pada masa depan dan membina negara yang lebih baik serta mengamalkan sistem demokrasi yang lebih teguh.

Beliau berkata pembentangan dua rang undang-undang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini menunjukkan kerajaan benar-benar serius dalam melaksanakan transformasi negara.

"Hari ini cukup bersejarah. Apa yang diumumkan dahulu telah pun ditetapkan dalam agenda Parlimen hari ini dan saya percaya banyak lagi akan diumumkan pada masa akan datang.

"Ini untuk membuktikan bahawa transformasi yang bermula dengan tranformasi kerajaan, tranformasi ekonomi dan kini transformasi politik pula," katanya.

Pada persidangan hari ini Najib membentangkan Rang Undang-Undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 dan Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 untuk bacaan kali pertama.

Dalam perutusan sempena Hari Malaysia pertengahan bulan lepas, Najib mengumumkan pemansuhan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 selain memansuhkan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad 1933.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...