Khamis, 21 April 2011

Terengganu paling banyak salah guna jenama `homestay’


Pengusaha pelancongan di Terengganu dikesan paling banyak menyalahgunakan jenama perkhidmatan `guest house’ atau rumah tumpangan kepada `homestay’ (inap desa), sedangkan mereka tidak mengamalkan cara dan amalan sebenar perkhidmatan yang sepatutnya sebagai sebuah inap desa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap pengusaha berkenaan kerana mereka sanggup menggunakan jenama yang tidak sepatutnya itu berbanding dengan perkhidmatan yang disediakan semata-mata kerana kelihatan lebih popular di kalangan rakyat negara ini.

“Sebagaimana yang saya katakan tadi, `homestay’ ini bermakna mereka (pengunjung) tinggal bersama dengan tuan rumah, sama ada makan pagi, minum petang dan menjalankan aktiviti bersama-sama dengan tuan rumah.
“Sekarang ini dia sediakan rumah (penginapan), pengunjung datang dan duduk, itu dinamakan `guest house’. Itu perbezaannya dan penyalahgunaan istilah itu sendiri, Terengganu paling banyak menyalahgunakan istilah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena majlis Penyampaian Hadiah pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat Negeri Terengganu 2010, di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Sawa, Marang, petang semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah dan Adun Jabi, Haji Ramlan Ali.
Sehubungan itu, kerajaan negeri sudahpun mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan supaya memanggil pengusaha rumah penginapan berkenaan supaya menurunkan papan tanda (perniagaan) masing-masing dan digantikan dengan papan tanda yang baru.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, inap desa diberi pengiktirafan oleh Kementerian Pelancongan berdasarkan penilaian, kategori serta syarat tertentu bagi melayakkan mereka menggunakan jenama inap desa berkenaan.


“Bagaimanapun, pengusaha pelancongan ini sewenang-wenangnya menggunakan label dan meletakkan anak panah dengan memaparkan `homestay’ .
“Pandangan saya, di Terengganu majoriti boleh dikatakan menyalahgunakan jenama itu, sedangkan hakikat sebenar `guest house’. Saya tidak pasti kenapa mereka menggunakan jenama itu, tetapi mungkin disebabkan mahu lebih popular, tetapi saya minta diperbetulkan.
Katanya, penggunaan rumah tumpangan ataupun inap desa bagi pelancong tempatan mungkin tidak memberi kesan kerana mereka hanya mahu sebuah tempat tinggal sementara, tetapi tanggapan pelancong asing terhadap perkhidmatan di homestay adalah berbeza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...