Isnin, 18 April 2011

Berpegang teguh kepada ajaran Islam, elak berpecah belah


Umat Islam perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam, kekalkan hidup bersatu padu dan dilarang meletakkan diri dalam kategori tertentu sehingga menyebabkan perpecahan dan perbalahan antara kaum sendiri.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masyarakat hari ini sepatutnya menghayati bacaan ayat al-Quran dengan memahami setiap tafsiran demi kekuatan serta perpaduan ummah dan bukannya bertindak menghentam tanpa usul periksa.


Katanya, mereka seharusnya bersyukur kerana memiliki negara aman, makmur dan bahagia berbanding negara lain yang sentiasa dilanda krisis, peperangan dan dicengkam musibah akibat perbuatan khianat sesama sendiri.


“Di Malaysia khususnya Terengganu mempunyai masyarakat majmuk, mereka dapat hidup saling bertolak ansur dan bekerjasama walaupun berlainan kaum dan budaya.


“Kita perlu kekalkan hubungan ini supaya masyarakat luar terutama yang tinggal di negara barat tidak memandang serong,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Tilawah al-Quran peringkat Kemaman 2011 di Felda Kertih 6, Kemaman, baru-baru ini.


Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, Adun Kemasik YB Ir Rosli Othman dan Pegawai Daerah Kemaman Haji Mohammad Kamil Othman.


Qari, Mohd Abd Latiffah Shah Che Yusof, 49, dan qariah Sumayyah Ali @ Awang, 26 masing-masing dinobatkan sebagai johan dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 2,000, piala iringan dan piala pusingan.


Dato’ Ahmad Said turut memberitahu orang barat sentiasa mencari silap dan keaiban bagi menjatuhkan umat islam.


“Justeru itu, kita seharusnya bersama-sama berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar supaya tidak mudah berpecah belah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...