SHAH ALAM - Datuk Dr Hasan Ali terkejut dengan keputusan Pas memecat beliau dari parti itu dengan serta-merta sambil menyifatkannya sebagai tindakan "drastik."
"Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang diambil oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu," kata beliau dalam satu kenyataan ringkas yang dihantar sekitar 5.30 petang ini.
Lebih dua jam lalu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan pihaknya memecat Hasan berkuat kuasa serta-merta.
"Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. Sebentar tadi saya menerima berita pemecatan saya sebagai ahli PAS dengan serta-merta," katanya lagi.
Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata beliau turut bersedih kerana usahanya memperjuangan Islam selama ini dibalas sedemikian rupa.
"Saya akan merujuk kepada sahabat-sahabat dan meminta pandangan daripada teman-teman ulama mengenai tindakan selanjutnya yang patut saya ambil.
"Saya akan memanggil sidang akhbar dalam masa yang terdekat untuk menjelaskan lagi kedudukan perkara ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan