UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh mengambil risiko dengan terus mengetengahkan calon yang bermasalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kriteria utama pemilihan calon tidak lagi bergantung kepada jawatan dalam politik sama ada di peringkat bahagian, negeri mahupun Pusat.
"Sebaliknya, ia dilihat dari segi kemenangan yang akan dicapai untuk menterjemahkan apa yang Perdana Menteri mahukan.
"Sudah tiba masanya untuk kita terima hakikat bahawa yang penting adalah pembentukan kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Pusat selain meningkatkan jumlah kerusi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau ditemui semasa menghadiri Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan ke-42 di Istana Balai Besar dekat sini.
Ahmad Zahid ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN tidak meletakkan had umur dan jumlah pernah menjadi wakil rakyat untuk menjadi calon pada PRU13, asalkan calon berkenaan boleh menang.
Sambil mengakui PRU13 akan datang sebagai sengit, Perdana Menteri berkata, apa yang penting ialah individu berkenaan adalah calon terbaik untuk BN.
Mengulas lanjut, Menteri Pertahanan berkata, semua pihak perlu mempersetujui saranan Perdana Menteri itu bagi memastikan BN dan UMNO mencapai kemenangan di peringkat negeri dan Pusat.
Mengenai ingatan Najib supaya ahli di semua peringkat mengetepikan pergolakan dalaman, Ahmad Zahid berkata, ingatan itu terus diberikan kerana permasalahan dalaman parti menyebabkan UMNO dan BN tewas di beberapa negeri.
"Dahulu masalah timbul bukan kerana pembangkang kuat, tetapi disebabkan masalah dalaman seperti tidak setuju dengan calon. Saya fikir ini harus diketepikan, apabila keputusan telah dibuat oleh pucuk pimpinan, kita harus akur," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan