Kerajaan negeri yakin aktiviti berbasikal yang di sertai ribuan remaja di negeri ini menjadi formula paling berkesan bagi menangani gejala lumba haram dan mat rempit di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pada masa yang sama, kegiatan itu dapat membantu melahirkan generasi sihat selain mengalih perhatian mereka daripada terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah.
Beliau seterusnya menyokong minat serta kecenderungan golongan remaja di negeri ini yang melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal walaupun sanggup mengeluarkan belanja besar.
"Ada peserta sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membeli sebuah basikal, ini satu pendekatan bijak untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah," katanya ketika berucap di Karnival Rapat 1Malaysia, di Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Karnival anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri (Jasa) Terengganu dan Kelab Belia Generasi Prihatin itu disertai kira-kira 600 peserta melibatkan kayuhan sejauh 20 kilometer dengan mengelilingi bandar raya itu.
Aktiviti lain termasuk, pertandingan yamaha motoshow, motosikal klasik, vespa tercantik, wau bulan, mewarna, dam aji, sukan rakyat, makan keropok; persembahan okestra Cina, tarian 1Malaysia, dikir barat, basikal fixie dan tarian tradisional.
Menurut Rozi, aktiviti kayuhan basikal secara beramai-ramai adalah cara terbaik bagi mengurangkan kegiatan perlumbaan haram yang sering dikaitkan dengan golongan remaja di negeri ini pada setiap hujung minggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan