Lebih 100 belia yang meminati sukan berbasikal di negeri ini akan menyertai program Kembara Maal Hijrah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) di sekitar Kuala Terengganu, pada 26 November ini (Sabtu).
Program pelepasan akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat di perkarangan Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu kira-kira jam 3.30 petang.
Setiap peserta program mula mendaftarkan nama di perkarangan kompleks itu sebelum memulakan kembara ke beberapa lokasi yang ditentukan penganjur.
Antara kawasan yang terlibat adalah laluan Kuala Ibai, Jalan Sultan Omar, Jalan Ladang dan Gong Kapas.
Destinasi terakhir adalah di lokasi Sambutan Ambang Maal Hijrah iaitu di Masjid al-Taqwa Durian Burung.
Timbalan Pesuruhjaya (Khidmat Pengurusan) Jheat, Haji Mat Arsad Mohamed, berkata, pelbagai aktiviti positif diselitkan di samping mereka berbasikal termasuk berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat bersama pelumba basikal profesional Terengganu, motivasi diri dan solat berjemaah.
Katanya, Jheat memilih program seumpama ini kerana menyedari golongan belia dan remaja di Terengganu kini mula mengemari aktiviti berbasikal sama ada pada waktu siang atau malam.
“Apa yang dilaksanakan ini, bukan saja mampu mengelak pelbagai aktiviti kurang sihat, termasuk melepak dan merempit malah memberi kesihatan yang sempurna kepada anggota badan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan