Gambar hiasan |
KUALA TERENGGANU 5 Sept. – Polis memburu tiga individu termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek, Jertih, pada 31 Ogos lalu, sebelum melarikan serbuk emas dan barangan perak bernilai RM200,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu dipercayai turut aktif melakukan kes curi di Pahang dan Lembah Klang.
Katanya, ia berdasarkan hasil siasatan ke atas seorang suspek berusia 28 tahun berasal dari Bentong, Pahang, yang ditahan pada hari kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan kita percaya dua lagi suspek yang melarikan diri itu, dibantu isteri salah seorang daripadanya dan turut bersekongkol memecah masuk kedai emas tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, suspek dipercayai memasuki sebuah kedai kosong yang terletak bersebelahannya sebelum menebuk dinding kedai emas terbabit.
“Mereka berjaya memasuki kedai emas itu namun gagal memasuki bilik kebal tempat simpanan barang kemas.
“Suspek hanya dapat sejumlah serbuk emas dan barangan perak dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000 yang tidak disimpan di dalam bilik kebal,” katanya.
Menurut beliau, polis yang mendapat maklumat bertindak pantas menyerbu kedai itu dan berjaya menahan salah seorang suspek ketika cuba melarikan diri dengan sebuah Perodua Myvi tidak jauh dari tempat kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan