Jumaat, 17 Jun 2011

Kerajaan sedia hadapi serangan siber

View Image

KUALA LUMPUR 15 Jun - Malaysia bersedia menghadapi apa jua kemungkinan serangan siber terhadap mana-mana laman web rasmi kerajaan termasuk ancaman daripada kumpulan yang bergelar anonymous.

Meskipun mengakui ancaman itu merupakan sesuatu di luar jangkaan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan laman web kerajaan selamat daripada digodam.


"Kami mengambil perkara itu secara serius. Walaupun ia bukan sesuatu yang dijangka, kami sebenarnya telah berdepan dengan cubaan untuk menggodam laman web kerajaan beberapa kali sebelum ini.

"Maklumat mengenainya telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan. Kami bersedia berdepan menerusi pakar daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta CyberSecurity Malaysia dan beberapa agensi lain," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai anonymous menyatakan hasrat untuk menggodam laman web kerajaan kerana mendakwa Malaysia sebagai salah satu negara paling tegas mengenakan sekatan, bukan saja Internet malah tayangan filem dan siaran televisyen.

Mereka merancang melakukan serangan yang dipanggil 'Operasi Malaysia' itu pada pukul 7.30 petang, Rabu waktu GMT (3.30 pagi Khamis waktu Malaysia). Ancaman mereka dimuat naik ke web i.imgur.com/ PTFWh.png Selasa lalu.

Kumpulan sama sebelum ini pernah menyerang laman web kerajaan Zimbabwe, Turki, polis Sepanyol serta memuat naik banyak video lucah ke Youtube sempena satu hari yang digelarkan mereka sebagai Youtube porn day.

Mengulas dakwaan kumpulan itu kononnya Malaysia menyekat hak asasi dengan membuat sekatan tersebut, Rais menganggap kumpulan tersebut mungkin telah tersalah faham akan niat baik kerajaan.

"Kerajaan tidak pernah mengamalkan sekatan, sebaliknya tindakan diambil terhadap laman web tertentu kerana mereka terlibat dengan jenayah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...