Ahad, 19 Jun 2011

Kambing-kambing betina yang bingung


WAHAI orang-orang yang beriman, renungilah maksud hadis ini. Dari Ibnu Umar RA, dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya: Perumpamaan orang munafik, seperti seekor kambing betina yang bingung mengikuti dua ekor kambing jantan. Sekali dia hendak mengikut yang ini, kali yang lain hendak mengikuti yang satu lagi. - SAHIH MUSLIM

Siapakah orang-orang yang bersifat kambing betina yang bingung ini? Jawapannya jelas, tanpa perlu banyak berfikir dan merujuk kepada banyak pihak.


Dulu puak kambing betina ini mengekori dengan penuh taksub kambing-kambing jantan yang berbulu putih lebat di kepala dan berjanggut juga putih. Mengekori dengan penuh taksub. Setiap gerak dan suara yang keluar daripada kambing berserban dan berjanggut ini akan diterima bulat-bulat.

View Image
Disuruh makan mereka makan, disuruh duduk mereka duduk, disuruh berdiri mereka berdiri, disuruh mengembik mereka mengembik, disuruh menanduk mereka menanduk, bahkan disuruh apa sahaja mereka akan lakukan.

Tiba-tiba lalu di depan mereka seekor kambing jantan yang berbulu hitam lebat di kepala. Maka kambing-kambing betina melihat suatu kelainan. Suara kambing jantan berkepala hitam itu juga lebih merdu dan enak didengar daripada suara kambing-kambing jantan yang berkepala putih.

Kambing jantan berkepala hitam itu juga kelihatan lebih berketrampilan. Pandai bermadah dan berkata-kata. Pandai juga bercakap seperti kambing-kambing di negara empat musim.

Lalu mereka pun mengekori pula kambing jantan berkepala hitam itu. Bukan sahaja mereka, malah kambing-kambing jantan yang berkepala putih turut mengekori kambing jantan berkepala hitam. Rupa-rupanya kambing-kambing jantan berkepala putih itu tidak mahu ditinggalkan oleh kambing-kambing betina yang mengekori kambing jantan berkepala hitam.

Bukan main seronok si kambing jantan berkepala hitam. Bukan sahaja banyak kambing betina yang sekarang mengekorinya, bahkan kambing-kambing jantan berkepala putih juga berduyun di belakangnya. Disuruh apa sahaja, mereka akan patuh. Malah mereka mengembek lebih kuat daripada kambing jantan berkepala hitam yang sekarang menjadi ketua mereka. Mereka juga sangat garang dan bersedia menanduk sesiapa sahaja atas arahan kambing jantan berkepala hitam.

Memang sudah lama si kambing jantan berkepala hitam ini mengidam untuk menjadi ketua, bukan sahaja ketua kambing, tetapi ketua kepada segala haiwan. Dia percaya kononnya Tuhan telah menjelmakannya di dunia untuk menjadi ketua kepada semua haiwan.

Anugerah

Sekarang semakin banyak kambing yang turut mempercayai kononnya dia adalah anugerah Tuhan untuk memimpin mereka ke padang ragut yang lebih hijau. Keyakinan mereka bertambah apabila melihat seekor singa tua dan beberapa ekor serigala turut mengekori dan berkawan rapat dengan kambing jantan berkepala hitam itu.

Dulu kambing jantan berkepala hitam itu pernah hampir-hampir menjadi ketua haiwan, tetapi perangainya yang buruk telah menyebabkan dia disingkir oleh ketua haiwan pada masa itu.

Oleh kerana dia percaya bahawa jawatan ketua haiwan itu adalah hak mutlaknya, maka dia sungguh marah dan tidak puas hati. Dia berdendam, terus merancang dan merancang bagaimana untuk menduduki kerusi jawatan ketua segala haiwan.

Sudah pelbagai muslihat digunakan, tetapi jawatan ketua haiwan itu masih belum berada dalam genggamannya. Dia tidak mengaku kalah dan akan terus berusaha sedaya upaya dengan apa cara jua sekalipun. Apatah lagi hampir semua kambing sudah seia sekata dengannya sekarang. Mereka sudah berikrar untuk sehidup semati bersamanya.

Disebabkan terlalu taksub dengan si kambing jantan berkepala hitam, mereka terlupa bahawa dalam kumpulan mereka ada singa dan serigala yang zahirnya berbaik-baik dengan mereka. Pada hal, si singa jantan tua dan gerombolan serigala itu hanya menunggu masa sahaja untuk membaham dan meratah kumpulan kambing yang bingung.

Para pembaca budiman. Kita tinggalkan kisah kambing ini. Kita kembali ke realiti kehidupan manusia di bumi Malaysia ini.

Tidak lama lagi, kalau tidak silap pada 9 Julai depan, akan berlangsunglah satu perhimpunan membantah sistem dan cara pelaksanaan pilihan raya di Malaysia.

Khabarnya perhimpunan itu dikepalai oleh seorang wanita bukan Islam. Yang ramai mahu menyertainya ialah lelaki-lelaki Islam, termasuk mereka yang berserban dan berkopiah putih. Mereka ini diperdaya dengan andaian kononnya mereka akan memperoleh kuasa memerintah negara jika pilihan raya umum benar-benar 'bersih.'

Antara mereka yang percaya ialah puak yang telah lama memegang kuasa memerintah negeri Kelantan. Tidakkah mereka terfikir, bolehkah puak mereka memerintah Kelantan begitu lama jika pilihan raya di negara ini sangat kotor dan mudah diputarbelit.

Kalangan yang menentang puak yang mahu berhimpun dan berarak ini juga berhujah, jika pilihan raya negara ini boleh diputarbelitkan, kenapa pembangkang boleh menang di lima negeri dalam pilihan raya umum 2008?

Kemudian diadakan beberapa pilihan raya kecil yang juga silih berganti dimenangi oleh pembangkang. Hanya pada kebelakangan ini arus pengundian tidak memihak kepada mereka kerana rakyat mulai sedar tentang siapa yang benar. Namun dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011, pembangkang masih berjaya menambah kerusi.

Sebenarnya kumpulan ini hanya mahu mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan rakyat Malaysia supaya turun ke jalan raya seperti yang berlaku di Mesir, Yemen, Libya dan Syria. Padahal keadaan di Malaysia amat berbeza daripada negara-negara itu sama ada dari segi pengagihan pendapatan dan kebebasan yang dirungutkan.

Sebenarnya puak yang mahu berhimpun itu sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi berpilihan raya kerana mereka tahu bahawa peluang mereka untuk menang dan memerintah negara tidak akan tercapai melalui kotak undi.

Soal keamanan tidak penting lagi bagi mereka. Yang penting hanyalah merampas kuasa dan memartabatkan ketua mereka menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara sekalipun. Musuh-musuh Islam dari kalangan manusia dan syaitan-syaitan juga sedang bekerja untuk membantu mereka. Wahai pihak berkuasa, jangan sesekali tunduk kepada tekanan mereka.

Wahai orang-orang beriman. Berwaspadalah dan jangan biarkan mereka beraja di hati dan di mata. Marilah kita menadah tangan kepada Illahi.

Ya Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Kepada-Mu kami berserah diri terhadap musuh-musuh-Mu yang juga musuh-musuh kami. Bantulah kami dalam menghadapi kegawatan ini. Selamatkanlah negara kami daripada segala angkara manusia durjana dan syaitan-syaitan yang mahu menyesatkan umat manusia daripada jalan yang benar. Perkenankanlah permintaan kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...