KUALA LUMPUR: Trio Datuk T yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas pertuduhan melibatkan pendedahan video seks yang dikatakan mirip seorang pemimpin pembangkang dikenakan hukuman denda wang tunai atau dipenjarakan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Trio 'Datuk T' terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim, dan juga ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah.
Shazryl Eskay dikenakan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda manakala Shuib dihukum denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal, sementara Abdul Rahim diarahkan membayar denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Berita mengenai pendakwaan mereka disiarkan media pada Rabu, menyebabkan perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, dipenuhi oleh kira-kira 100 penyokong Datuk T, selain pihak media yang menunggu seawal pukul 7.30 pagi.
Trio tersebut yang memakai sut tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.15 pagi dan keadaan mahkamah yang sesak menyebabkan anggota polis mahkamah mengarahkan agar orang awam yang berdiri di galeri awam untuk keluar.
Tepat pukul 9.30 pagi, Shazryl Eskay dan Shuib didakwa secara bersama atas tuduhan menayangkan bahan lucah iaitu video adengan seks seorang lelaki dan seorang wanita secara terbuka.
Abdul Rahim, yang juga menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka selama 12 tahun sejak tahun 1982 pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Shazryl Eskay dan Shuib untuk melakukan kesalahan tersebut.
Semua mereka mengaku melakukan kesalahan itu di bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Persiaran Mahameru, di sini pada antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu.
Pendakwaan terhadap Shazryl Eskay dan Shuib dibuat mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan Akta 574 manakala pertuduhan terhadap Abdul Rahim dibuat mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi persubahatan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Kamaludin Md Said dan Mohamad Hanafiah Zakaria.
Kamaludin juga mengemukakan fakta kes bersama beberapa bahan bukti termasuk satu peranti storan media (USB) yang mengandungi rakaman video yang dikatakan mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang wanita warganegara China.
Selain itu, video seks tidak bewarna dan tidak mempunyai suara yang mempunyai tempoh durasi masa selama 20 minit juga ditayangkan di mahkamah dengan menggunakan dua televisyen LCD bersaiz 42 inci untuk disahkan oleh trio yang berada di dalam kandang tertuduh.
Video itu dimainkan pada tahap kelajuan biasa, tetapi apabila mula memasuki adegan seks, Majistret Aizatul Akmal Maharani berkata: "Bahagian itu boleh di fast fowardkan (dilajukan ke depan)?"
Fakta kes pula menyatakan bahawa Shazryl Eskay telah berjumpa Shuib pada sekitar Februari lalu mengenai rakaman video tersebut, dan selepas berbincang, mereka bersetuju untuk berjumpa Abdul Rahim memandangkan ianya sensitif dan melibatkan kepentingan negara.
Hasil perbincangan, semua tertuduh membuat keputusan untuk memanggil wartawan dan Abdul Rahim mencadangkan agar tayangan itu dibuat di hotel berkenaan.
Shazryl Eskay kemudiannya menghubungi seorang ketua wartawan di akhbar tempatan berbahasa Inggeris untuk menyebarkan agar wartawan hadir ke hotel itu pada 21 Mac untuk satu cerita besar demi kepentingan negara dan pada hari itu, wartawan telah berkumpul seawal pukul 9 pagi.
Penayangan video dibuat dengan menggunakan sebuah LCD CPU jenama Lenovo milik Shazryl dan secara keseluruhan, 13 wartawan menyaksikan video yang mengandungi aksi seks dan seks oral dua individu dalam keadaan berbogel.
Sehari selepas tayangan, ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat loporan polis dan pada 23 Mac lalu, Shazryl Eskay dan Abdul Rahim membuat sidang media mengakui bertanggungjawab atas penayangan video berkenaan.
Siasatan polis juga mendapati rakaman itu berlaku di bilik sebuah apartmen di Ampang, di sini dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Shazryl Eskay berada di lobi apartmen itu pada 21 Februari lalu.
Sementara itu, pada rayuan bagi meringankan hukuman, peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar mahkamah mempertimbangkan faktor bahawa anak guamnya, Abdul Rahim tidak pernah disabitkan di mana-mana mahkamah sebelum ini.
"Semasa menjadi Ketua Menteri, tertuduh terlibat untuk mengubah Melaka daripada sebuah negeri yang terbelakang menjadi sebuah negeri top 5 sehingga sekarang," katanya dan menambah, tertuduh yang mempunyai empat orang anak menjalankan perniagaan sendiri selepas bersara daripada politik pada tahun 1994.
Abdul Rahim yang juga Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) juga dimaklumkan sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD.
Peguam Zamani Ibrahim yang mewakili Shazryl Eskay pula berkata, anak guamnya tidak mempunyai niat jahat dan tindakan itu adalah untuk kepentingan awam.
"Tertuduh juga telah membuat satu sumpah laknat pada 29 April lalu mengatakan bahawa dirinya adalah orang di dalam video bersama dengan Anwar, dan sampai sekarang Anwar tidak menjawab sumpah laknat itu," tambah Zamani.
Shuib, yang merupakan seorang guru sebelum melibatkan diri di dalam politik pula menerusi peguam Suhaimi Salleh memberitahu bahawa, pengakuan salahnya telah menjimatkan wang dan masa mahkamah daripada menjalankan perbicaraan yang panjang.
Pada penghakimannya, Aizatul Akmal memberitahu bahawa, beliau mengambil kira faktor bahawa kepentingan awam yang mengatasi kepentingan peribadi tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.
Difahamkan, penyokong-penyokong Trio Datuk T yang hadir di mahkamah membuat kutipan wang tunai untuk membantu menjelaskan denda tersebut.
Muhammad Shafee semasa ditanya berkata, kutipan yang dikumpulkan hampir berjumlah RM23,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan