Selasa, 7 Jun 2011

20,000 Tiket Piala FA Untuk Terengganu Habis Dijual


Sebanyak 20,000 tiket daripada 30,000 tiket yang diperuntukkan untuk Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah dijual pada hari pertama jualan tiket perlawanan akhir Piala FA Terengganu menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.

Naib Yang Dipertuanya Sheikh Tajudin Sheikh Yusoff semalam berkata daripada 30,00 tiket itu 25,000 daripadanya telah ditempah sebelum ini, manakala 5,000 untuk jualan terbuka.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati jualan tiket iaitu di pejabat PBSNT di Bangunan Seri Amar sebelah pagi semalam agak perlahan dengan beberapa orang penyokong sahaja yang kelihatan dipercayai bagi mengambil tiket yang ditempah dalam kuantiti yang banyak.

Namun menjelang tengah hari hingga petang tadi bilangan penyokong pasukan hitam putih itu mulai meningkat dan mereka terpaksa beratur panjang sehingga di luar bangunan tersebut untuk menunggu giliran membeli tiket.

Menurut Setiausaha Agong PBSNT Abdullah Salleh jualan hari pertama tiket pada hari ini agak memberangsangkan walaupun agak perlahan pada sebelah pagi tadi.

"Pihak PBSNT juga sudah menyediakan 20,000 tiket perlawanan dan sebanyak 10,000 lagi sebagai tambahan jika tidak mencukupi," katanya ketika ditemui Bernama di sini Isnin.

Katanya orang ramai dan penyokong pasukan bola sepak Terengganu boleh mendapatkan tiket-tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu dengan harga RM50 untuk tempat berbumbung dan RM30 untuk tempat tidak berbumbung di pejabat PBSNT dari 8 pagi hingga 5 petang bermula hari ini sehingga 8 Jun ini.

Pasukan Terengganu berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas berjaya menundukkan Pahang 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Darul Makmur 13 Mei lalu.

Untuk rekod, Terengganu kali terakhir layak ke final saingan Liga Malaysia ialah pada perlawanan akhir Piala FA tahun 2004 yang menyaksikan pantai timur itu tewas 0-3 di tangan Perak.

Sebelum itu, Terengganu telah dua kali melangkah ke pentas yang sama iaitu pada tahun 2001 yang menyaksikan mereka muncul juara selain pada tahun 1999 ketika tewas kepada Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...