Isnin, 30 Mei 2011

Syarikat Air Terengganu Rugi RM18 Juta Setahun Akibat Paip Bocor

HULU TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) -- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengalami kerugian kira-kira RM18 juta setahun akibat kehilangan air disebabkan paip bocor dan pecah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Zaabar Mohd Adib berkata masalah paip pecah atau paip bocor itu antara lain disebabkan oleh usia paip yang terlalu lama.


"Bagi mengatasi masalah itu SATU mewujudkan pasukan khas bagi memantau kawasan-kawasan yang terlibat. Kita juga meminta kerjasama penduduk agar melaporkan kepada SATU jika ada sebarang kebocoran paip di kawasan kediaman mereka.


"Dengan adanya pasukan khas itu, kita sasarkan kehilangan air tak berakaun dapat dikurangkan kepada 35 peratus tahun ini," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Air SATU di sini Ahad yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SATU Husein Embong.


Zaabar berkata ketika ini SATU menyalurkan 97 peratus bekalan air bersih di seluruh negeri itu melibatkan 283,000 pengguna melibatkan 14 buah loji dan dikenakan bayaran 52 sen bagi satu liter kiub berbanding kos memproses air sebanyak 59 sen satu liter kiub.


"Bayaran yang kita kenakan kepada penduduk sangat rendah berbanding kos memproses air bersih dan sudah sampai masanya kajian untuk tarif baru dibuat memandangkan kos memproses air meningkat," katanya.


Katanya antara komponen kos utama memproses air ialah bekalan elektrik dan bahan kimia masing-masing melibatkan jumlah RM30 juta dan RM3.8 juta pada tahun lepas.


Zaabar berkata SATU juga memberi tumpuan kepada kawasan yang kritikal seperti di Kemaman iaitu di kawasan perindustrian Teluk Kalong bagi menyediakan bekalan air kepada pelabur yang akan membuka kilang di situ.


Tumpuan juga akan dilakukan di Kuala Nerus memandangkan pembangunan yang pesat sedang berlaku di kawsan itu selain keadaan paip-paip yang sedia ada sudah usang dan sering mengalami kebocoran.


Katanya kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan senbanyak RM2 juta bagi memulakan kajian pembinaan loji rawatan air yang baru di Kuala Nerus dan Kemaman untuk meningkatkan keselesaan pengguna di kedua-dua kawasan berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...