Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta kepada 2,482 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara peringkat matrikulasi dan diploma bagi kemasukan pertama bulan ini.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,407 pelajar yang mendapat bantuan persediaan menerusi Yayasan Terengganu (YT) itu, menerima RM500 seorang bagi mengikuti kursus matrikulasi, manakala selebihnya menerima RM750 setiap seorang bagi pengajian peringkat diploma.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan memperuntukkan RM703,500 bagi kursus matrikulasi dan sejumlah RM808,250 bagi program diploma yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1, 511,750.
“Jumlah ini tidak termasuk pelajar yang telah menyertai kursus atau memasuki asrama penuh. Asrama penuh dan sijil masing-masing akan mendapat RM500 seorang dan peringkat ijazah akan menerima RM1,000 seorang bagi kemasukan September ini.
“Ini juga tidak termasuk mereka yang menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta kerana mereka perlu melapor diri (di IPTS) terlebih dahulu. Berdasarkan surat pengesahan lapor diri itu kita akan bayar,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan persediaan YT ke IPT Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar dan Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat.
Menteri Besar berkata, jumlah keseluruhan sebenar yang dibelanjakan kerajaan negeri bagi bantuan persediaan melanjutkan pelajaran belum muktamad berikutan bantuan kali ini hanya melibatkan matrikulasi dan diploma sahaja, tidak termasuk pelajar ke IPTS dan peringkat ijazah.
Dalam ucapannya sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan dokongan yang terbaik kepada rakyat negeri ini terutama dalam aspek pendidikan.
Katanya, pelajar tidak harus menjadikan kemiskinan dan kesusahan hidup sebagai penghalang untuk menyambung pelajaran di menara gading dan mencapai cita-cita serta kejayaan pada masa depan.
“Pada hari ini, mereka yang hebat (dalam pelajaran) akan menang dan mengecap kejayaan serta mereka yang lemah akan terus gagal dan terpinggir dalam arus pembangunan. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang memiliki pendidikan yang tinggi,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan