Selasa, 26 April 2011

Masyarakat Islam mudah putus saudara

Silaturahim dalam kalangan masyarakat Islam hari ini dengan mudah diputuskan akibat sikap suka mengata orang lain. 

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Razali Salleh berkata, silaturahim tidak boleh diputuskan sewenang-wenangnya kerana ia adalah ikatan yang memberi gambaran sama ada orang Islam boleh bersatu atau tidak. 

“Jangan disebabkan perbezaan fahaman politik, masyarakat menjadikan ia penghalang utama untuk bersatu sedangkan tidak ada disebutkan di dalam al-Quran. 

“Justeru, wajar umat Islam mengubah fikiran dan jangan cepat membuat sebarang tindakan yang sebenarnya boleh memberi satu kerugian besar dalam mengukuhkan perpaduan ummah,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup kursus Kejiranan dan Perpaduan Menurut Islam di pekarangan Masjid Payong Baru, Setiu. 
Razali berkata, nikmat yang diberikan Allah SWT perlu sentiasa disyukuri dan seharusnya digunakan ke arah kebaikan yang boleh memberi kebaikan sepanjang masa. 

“Seboleh-bolehnya masalah pertelingkahan atau pergaduhan dalam kelompok individu harus dielakkan kerana ini akan menjadi punca dalam diam terutama dalam masyarakat. 

“Saya berharap untuk mengukuhkan perpaduan ummah rasa tanggungjawab dalam diri individu bermula dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa, perlu diberi penekanan seimbang agar ia mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...