Ahad, 29 Januari 2012

Ketegasan Majlis Tertinggi UMNO untuk mengambil tindakan disiplin lebih awal terhadap pemimpin serta ahli yang mensabotaj parti disokong


Ketegasan Majlis Tertinggi UMNO untuk mengambil tindakan disiplin lebih awal terhadap pemimpin serta ahli yang mensabotaj parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, mesej tersebut jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya setiap pemimpin serta ahli memandang serius hubungan dalaman parti.


"Saya lihat ia sebagai langkah pencegahan supaya tidak ada unsur memporak-peranda atau memecahbelahkan ahli dalam parti.

''Jawatankuasa Disiplin parti juga akan lebih berperanan selepas ini untuk memantau setiap tindak-tanduk ahli supaya tidak ada kegiatan sabotaj dilakukan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Jawatankuasa Disiplin parti itu akan mengambil tindakan disiplin lebih awal ke atas mana-mana pemimpin dan ahli yang cuba mensabotaj parti sebelum PRU13 berlangsung.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, langkah jawatankuasa peringkat pusat itu bergerak sebelum dan semasa pilihan raya umum akan datang merupakan satu tindakan proaktif dan amat terpuji.

"Biar semua orang tahu tidak sewenang-wenangnya orang dalam parti sendiri melakukan sabotaj dan menyokong pembangkang," jelasnya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian menegaskan, sejarah lampau membuktikan masalah seperti itu jika tidak ditangani segera akan memberi kesan kepada parti ketika pilihan raya berlangsung.

"Seandainya pemimpin dan ahli seperti ini dikesan lebih memikirkan pemilihan dalam parti berbanding pilihan raya umum, maka saya bersetuju tindakan awal diambil.

''Mereka ini boleh dipanggil untuk diberi amaran atau dikenakan tindakan terus seperti dipecat keahlian mengikut perlembagaan parti," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid pula mencadangkan agar kepimpinan tertinggi parti menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas yang dianggotai mereka berkecuali bagi memastikan ketelusan dalam menentukan bentuk tindakan.

"Ini bagi memastikan tidak timbul keraguan di kalangan mereka yang bakal dikenakan tindakan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...