Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Terengganu membelanjakan kira-kira RM270,000 dalam usaha meningkatkan kemahiran dan ekonomi golongan wanita termasuk ibu tunggal dan belia tahun ini.
Penolong Pengarah JPW negeri, Puan Rafiah Sulaiman berkata, daripada peruntukan tersebut sebanyak 38 kursus telah dianjurkan dengan pelbagai kemahiran yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 peserta di seluruh negeri,
Katanya, antara program yang diperkenalkan ialah `jejari bestari’ yang melatih mereka dalam bidang gubahan, dan jahitan sebagai dorongan mereka dapat mengusahakannya sendiri.
`Selain itu program ` kraf kreatif’ yang memberi pendedahan mengenai bidang masakan dan jahitan langsir serta `Imarah Rumah Nur’ dengan aktiviti motivasi dan jahitan,’’ katanya.
Menurutnya, adalah menjadi matlamat jabatan melalui program yang dianjurkan itu dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan.
Selain itu, JPW negeri juga turut mengadakan program Inkubotur Kemahiran yang diberi khusus kepada golongan ibu tunggal.
Katanya, melalui program itu dua fasa telah dilaksanakan yang membabitkan fasa pertama dalam bidang menggunting rambut dan fasa kedua dalam bidang masakan.
``Bagi program tersebut kita bekerjasama dengan Kolej Komuniti negeri untuk melatih dan memberi kemahiran kepada peserta,’’ ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan