Jumaat, 14 Oktober 2011

iHeal Medical lakar sejarah bedah jantung




HOSPITAL yang dibangunkan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT), iHeal Medical Service Sdn. Bhd. (iHeal Medical) melakar sejarah dalam menawarkan perkhidmatan perubatan apabila berjaya melakukan pembedahan jantung pertama hari ini.

Lebih bermakna, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri menyaksikan operasi pembedahan itu di Pusat membeli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB. Dr. A. Rahman Mokhtar.


Dato’ Seri Ahmad berkata, pembedahan itu diketuai sendiri oleh Pengarah Kesihatan hospital itu, Dr. David Khoo Sin Keat bersama pakar bius, Dr. Ariffin Marzuki serta enam kakitangan kesihatan lain.


Menurutnya, pasukan itu mengambil masa kira-kira empat jam untuk melakukan pembedahan penggantian injap jantung sebelah kiri kepada seorang pesakit wanita dari Melaka, Yap Nyok Lin, 50 tahun.

“Kejayaan pertama ini menjadi kebanggaan kepada kita. Kita antara pelopor dalam memberikan perkhidmatan kesihatan bukan sahaja di Terengganu malah di sekitar Lembah Klang melalui pelaburan anak syarikat negeri.


“Kalau dulu pesakit kronik dari Terengganu akan dirujuk ke hospital lain terutama di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tetapi sekarang kita boleh melakukannya di hospital ini," katanya kepada Teganukita di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Hospital dibangunkan oleh LTAWT yang menguasai 60 peratus kepentingannya sahamnya dan baki 40 peratus lagi oleh Biomedical Technologies Sdn. Bhd. dan pengasasnya iaitu Dr. David Khoo Sin Keat sendiri.

Sementara itu, Sin Keat ketika ditemui berkata, iHeal Medical menumpukan pelancong asing sebagai pelanggan utama khususnya dari Indonesia, Amerika Syarikat beberapa negara Asia Tenggara lain.


Beliau berkata, pelancong asing itu kerap ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana ia dianggap antara terbaik di rantau Asia Tenggara.

Sin Keat menambah: "Bagi rakyat tempatan, pusat ini berperanan mendidik mereka tentang penjagaan kesihatan khususnya pada peringkat awal kerana mereka, biasanya kurang mengendahkannya.

"Kami juga mengambil kesempatan ini bagi memperkasakan program pelancongan kesihatan oleh kerajaan dengan mensasarkan 70 peratus pelancong asing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...