Isnin, 19 September 2011

Bukan Semua Tuntutan Dapat Dilayan - Mahathir


KUALA LUMPUR, Sept 2011- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata setiap kaum mesti menerima hakikat bahawa tidak semua tuntutan yang dibuat oleh mereka akan dipenuhi oleh kerajaan dalam mengekalkan keamanan sekaligus membolehkan pembangunan ekonomi berlaku dengan pesat.

Dalam program Bicara Negarawan di TV1, beliau berkata setiap kaum mesti menerima hakikat bahawa tidak 100 peratus daripada tuntutan akan dilayan kerana ianya akan menidakkan hak sesuatu kaum yang lain.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia adalah satu-satunya negara yang telah memberikan kebebasan kepada semua kaum menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan untuk digunakan di sekolah-sekolah sebagai penghormatan setiap kaum yang mahu mengekalkan penggunaan bahasa ibunda di peringkat sekolah.

Ketika ditanya mengenai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak cergas atau kurang aktif pada masa kini, Dr Mahathir berkata mereka perlu aktif turun padang dan cuba mendekati masyarakat di peringkat akar umbi dengan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Dr Mahathir juga menyentuh mengenai pemilihan calon yang boleh menang dalam pilihan raya akan menimbulkan masalah antara pucuk pimpinan dan peringkat akar umbi.

Katanya calon boleh menang dalam pilihan raya yang bergantung kepada penilaian dan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan penasihat, kemungkinan bercanggah dengan kehendak parti dan menimbulkan masalah "mencantas calon" dalam pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...