Sabtu, 23 Julai 2011

Hormati agama lain - Najib


SEPANG 22 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, para penganut satu-satu agama di negara ini harus terlebih dahulu menghormati agama lain sebelum mereka ingin juga dihormati.

Mesej itu disampaikan Perdana Menteri ketika berucap di hadapan lebih 2,000 orang hari ini yang menyambut kepulangan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah melakukan lawatan kerja ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali.




"Kita mahu beritahu rakan-rakan kita, penganut Kristian di Malaysia... kalau mereka menghormati kita, kita juga menghormati mereka. Inilah kerajaan kita... kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Inilah mesej kita. Islam adalah agama yang adil pada semua. Islam itu cantik. Islam itu tinggi. Islam itu murni. Islam itu mulia. Ini adalah mesej yang kita perjuangkan," kata beliau.
Dalam lawatannya ke luar negara itu, Najib mengunjungi Pope Benedict XVI di kediaman musim panas pemimpin penganut Katholik itu di pinggir Rom.

"Mereka beritahu saya, ikut amalannya, Pope Benedict tidak terima sesiapa sewaktu dia bercuti. (Tetapi) dia buat pengecualian untuk saya berjumpa dengannya. Saya jumpa dengan Pope Benedict kerana kita mahu tunjukkan sebagai sebuah kerajaan kita bersikap inklusif," kata Perdana Menteri.

Menurut Najib, kerajaan boleh berbincang dan bekerjasama dengan mereka yang cintakan keamanan, kedamaian dan mereka yang menghormati kepada kepimpinan Islam.
"Kita menerima mereka. Kita boleh berdialog dengan mereka kerana kita hendak menegakkan keamanan di dunia ini," katanya.

Ketika mengunjungi Pope itu, Najib turut membawa bersamanya rombongan terdiri pemimpin pelbagai agama yang berpeluang mengadakan perbincangan peringkat delegasi dengan Setiausaha Negara bagi Holy See (Vatican), Cardinal Tarcisio Bertone.

Rombongan Perdana Menteri itu termasuk dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin dan Ketua Biskop, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...